Riders Malaya Community
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Pesona Kraf Sarawak

Go down

Pesona Kraf Sarawak Empty Pesona Kraf Sarawak

Post by ganahsokmo Thu Jan 28, 2010 3:29 pm

Sarakraf Pavilion pamer hasil seni bermutu tinggi 27 etnik Bumi Kenyalang

LUARAN banglo putih di Jalan Tabuan, Kuching, kelihatan tidak jauh beza dengan mana-mana bangunan lain yang dibina sebelum merdeka.

Namun suasana kontra menanti di sebalik pagar, apabila ia mempamerkan produk kraf Bumi Kenyalang.

Seumpama pusat sehenti kebudayaan, ia menempatkan galeri pameran dan bengkel demonstrasi pembuatan produk kraf berkualiti tinggi
meliputi kepelbagaian lebih 27 etnik yang mendiami negeri terbesar di Malaysia ini.

Ini termasuk kerja tenun pua Sungkit, ukiran kayu Dayak, Songket Melayu, manik buatan Orang Ulu sehingga yang jarang didengar iaitu
Keringkam.

Sebelum dibawa ke ruang pameran, pengunjung dibawa melalui taman kecil dengan landskap tumbuhan hiasan dan pohon buah-buahan tempatan. Laluan diturap batu kerakal seterusnya membawa tetamu ke ruang demonstrasi dalam binaan pondok kayu berlandaskan konsep rumah panjang tradisional masyarakat pedalaman Sarawak.

Terlalu banyak untuk dipelajari sepanjang berada di Sarakraf. Pembuatan pua kumbu umpamanya menyingkap kemahiran hasil kerja wanita
etnik Sarawak yang digunakan dalam upacara penting termasuk perkahwinan, kematian dan perubatan. Malah, ia juga menjadi simbol
status apabila gadis turut dikategorikan mengikut sejauh mana kemahirannya dalam menenun.

Tenunan kain songket Sarawak pula dikatakan berkembang pada zaman pemerintahan Sultan dan Rajah yang pernah mentadbir negeri itu suatu ketika dulu. Ada dua kepala utama digunakan dalam penghasilan kain tenun jenis ini iaitu panel flora tetapi songket Brunei pula
menggunakan tumpal atau pucuk rebung untuk impak lebih mewah.

Perhiasan manik walaupun nampak remeh namun menuntut semangat dan ketelitian yang tinggi. Di Sarawak, ia dihasilkan wanita Iban,
Kelabit dan Murut sebagai perhiasan kepala, gelang serta bengkung khusus untuk upacara rasmi. Ada juga yang digunakan untuk menghiasi
sarung parang atau pedang dan hanya digunakan ketika sambutan perayaan tertentu.

Di Sarakraf, anda dapat melihat sendiri proses penghasilan manik mengikut budaya masyarakat Orang Ulu bersama pembuatan tembikar yang
mempunyai pertalian dengan warisan budaya Iban, Murut dan Kelabit. Bagaimanapun kini, tembikar yang mempunyai pengaruh dari China
dikatakan mendapat permintaan lebih tinggi di pasaran.

Tetamu tidak hanya dapat menyaksikan dari jarak dekat, malah diajak untuk bersama-sama menyertai demonstrasi pembuatan produk kraf
termasuk kelas membuat tembikar, mempelajari teknik sulaman dan seni kaligrafi Cina. Tetapi, anda dinasihatkan membuat pertanyaan dan
tempahan awal untuk mengelak sebarang kesulitan.

Pengalaman berkunjung ke sini seakan-akan tidak lengkap sekiranya tidak bersama-sama memeriahkan pertunjukan tarian kebudayaan yang
diadakan dua kali sehari. Bagi mereka yang menyelami kehalusan seni tari masyarakat Sarawak, boleh menyertai kelas terbuka kepada pelawat pada setiap hujung minggu.

Menurut Pengurus Sarakraf, Gerald Goh, Sarakaf Pavilion yang terletak tidak jauh dari pusat bandar menjadi pilihan alternatif buat
mereka yang tidak berkesempatan mengunjungi Kampung Budaya Sarawak kerana menawarkan galeri pameran, persembahan kebudayaan dan restoran di bawah satu bumbung.

"Ini memberi pelancong peluang untuk melihat apa yang membuatkan Sarawak benar-benar istimewa," katanya.


>Info

> Sarakraf Pavilion terletak di 78, Jalan Tabuan, Kuching dan dibuka setiap hari antara jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Ia ditutup
seketika untuk rehat antara jam 12.30 tengah hari hingga 2 petang (Isnin - Ahad ), kecuali Jumaat (11.45 pagi hingga 2.30 petang).

> Pelancong yang datang secara berkumpulan boleh membuat tempahan awal menerusi 082-258771 atau layari laman sesawang di
www.sarakraf.com.my.




sumber :: variasi harian metro

ganahsokmo

Join date : 16/01/2010
Age : 42

Back to top Go down

Back to top


 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum